Meta,TikTok beri komitmen pastikan media sosial selamat
Meta Platforms Inc (Meta) dan TikTok telah memberikan komitmen berhubung soal keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil susulan perbincangan diadakan dengan penyedia platform itu pada Isnin.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Fahmi turut menjelaskan isu lain termasuk pemantauan kandungan berunsurkan jenayah seperti judi dalam talian, scam, berita palsu dan 3R (kaum, agama dan institusi raja) turut dibincangkan pada pertemuan itu.
“Selain itu, kedua-dua platform juga diberi makluman mengenai perancangan kerajaan menambah baik undang-undang serta garis panduan operasi platform media sosial di Malaysia.
“Ini sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjamin hak bersuara rakyat Malaysia sambil memastikan kegunaan Internet yang produktif, harmoni dan selamat untuk semua,” katanya.
BACA LAGI: SKMM diarah kenal pasti dalang ‘operasi tersusun’ burukkan kerajaan di media sosial
Fahmi sebelum ini memaklumkan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta beberapa agensi lain akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform Meta susulan ada cubaan pihak tertentu memperalat Facebook, WhatsApp dan Instagram bagi menyebarkan berita palsu.