Semasa

PM Anwar bakal hadiri rumah terbuka Aidilfitri Madani di enam negeri – Shamsul Iskandar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang bakal diadakan di enam negeri.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kehadiran perdana menteri itu sebagai usaha mendekati dan menyantuni rakyat di negeri berkenaan.

“Saya yakin Perdana Menteri ingin meluangkan masa untuk turun ke negeri-negeri yang kita tahu antara agenda yang rasminya atau pun agenda yang telah ditetapkan.

“Kaedah ini lebih efektif dan kemas kerana Anwar mengamalkan sikap ingin mendengar terus dari masyarakat apakah isu berbangkit di setiap negeri kerana setiap negeri ada isu yang perlu diselesaikan atau isu tertangguh sekian lama dan perlu mendapatkan penyelesaian daripada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Terbuka Aidilfitri anjurannya di Taman Bukit Piatu Mutiara, Melaka semalam.

Sementara itu menurut Shamsul, enam negeri yang akan menganjurkan Aidilfitri Madani adalah Johor, Sabah, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala bagi acara penutup Program Madani Rakyat dan sambutan Aidilfitri dijadualkan di Pulau Pinang.

BACA LAGI: Menteri Besar Kelantan ucap terima kasih kepada PM Anwar

Penganjuran sambutan Aidilfitri Madani itu tambahnya mampu menjadi ‘penutup’ kepada semua isu berbangkit sejak kebelakangan ini dan melonjakkan semangat muhibah dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Ini bukan sahaja sebagai platform mendekatkan diri dengan rakyat tetapi peluang memperjelaskan isu berbangkit agar tiada maklumat salah yang diperoleh masyarakat seperti mana yang dimainkan oleh pembangkang atau pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Related Articles

Back to top button