23 pemain galas cabaran skuad Harimau Muda bagi kempen Piala Asia B-23 Qatar 2024
23 pemain terpilih untuk senarai akhir bagi menyarung jersi skuad Harimau Muda bagi kempen Piala Asia Bawah 23 (B-23) di Doha, Qatar bermula 15 April hingga 3 Mei ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan turut tersenarai dalam skuad kendalian Juan Torres Garrido itu, penyerang kelab Jepun Y.S.C.C Yokohama Luqman Hakim Shamsudin serta pemain kacukan Malaysia-Scotland Fergus Tierney termasuk tonggak tengah Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nooa Laine.
Antara pemain lain yang bakal mewakili negara di Qatar, penjaga gol Penang FC Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, pemain Johor Darul Ta’zim II Daryl Sham K.K George dan penyerang Kuala Lumpur City FC Muhammad Haqimi Azim Rosli.
Di Qatar, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan ‘play-off’ bertemu Guinea di Paris, Mei ini.
Senarai pemain Harimau Muda bagi menggalas tanggungjawab tersebut sebagai penjaga gol ialah Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, 23, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin, 23 dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, 22.
Bagi pemain di posisi pertahanan ialah Muhammad Aiman Khairul Yusni, 22, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, 21, Muhammad Safwan Mazlan, 22, Harith Haiqal Adam Afkar, 22, Mohamad Saiful Jamaluddin, 22, Ahmad Zikri Mohd Khalili, 22, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, 22 dan Muhammad Abu Khalil, 19.
Manakala pemain tengah Harimau Muda membariskan Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal, 21, Nooa Laine, 22, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, 22, Muhammad Syahir Bashah, 23, Daryl Sham K.K George, 22 dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, 23.
Pemain penyerang pula membariskan T Saravanan 23, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, 20, Luqman Hakim Shamsudin, 22, Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar, 22, Muhammad Haqimi Azim Rosli, 21 dan Fergus Tierney, 21.