Polis sifatkan insiden tembakan di KLIA berunsur peribadi
Insiden tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA) pada pukul 1.30 pagi tadi disifatkan oleh polis sebagai bersifat peribadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian tersebut yang melibatkan dua das tembakan dan salah satunya terkena seorang lelaki tempatan berkerja sebagai pengawal peribadi, telah disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.
“Siasatan lanjut polis dapati lelaki (suspek) tersebut sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang berada di situ, yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
“Bagaimanapun tembakan berkenaan mengenai seorang individu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hussein, polis masih menyiasat motif kejadian dan diklasifikasikan sebagai kes cubaan bunuh dan pihak polis telah mengenalpasti identiti suspek.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa klip video memaparkan suasana cemas dipercayai berhubung kes itu yang meminta orang ramai yang berada di KLIA1 supaya berhati-hati.
Seorang wanita dipercayai berada di lokasi ketika kejadian memuat naik hantaran di Facebook, mendakwa mangsa yang terkena tembakan adalah pengawal peribadinya.
Dalam hantaran sama, individu itu memaklumkan sudah membuat laporan polis dan satu kenyataan rasmi akan dibuat berhubung perkara itu dalam masa terdekat.