Semasa

Kerajaan pastikan tiada mana-mana kaum termasuk masyarakat India akan terpinggir

Kerajaan Perpaduan dibawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negara ini termasuk kaum India.

Perdana Menteri berkata, keutamaan kerajaan adalah untuk menoktahkan kemiskinan dan pelbagai program dirangka bagi membantu komuniti India.

“Siapa yang dapat faedah banyak? Orang miskin… kebetulan dari segi jumlah, orang Melayu, tetapi dari segi nisbah, di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, nisbah paling banyak mendapat manfaat ialah masyarakat India.

“Saya tak peduli, tokey India, Melayu atau Cina berjaya atau tidak. Saya peduli tentang majoriti di bawah,” katanya.

Anwar berkata begitu pada ucapan perasmian Konvensyen Antarabangsa dan Majlis Sambutan Kelahiran Dr Ambedkar ke-133 tahun di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam pada Ahad.

Sementara itu jelasnya, di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang, kerajaan berjaya menyelesaikan hampir keseluruhan masalah kemiskinan tegar, tanpa mengira kaum.

BACA LAGI: Usaha basmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berjaya

Sebagai usaha menaik taraf hidup masyarakat India, Anwar menegaskan bahawa Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bukanlah satu-satunya medium bagi tujuan itu.

“Kerajaan Madani turut memberi tumpuan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang memberikan bantuan kepada masyarakat India di seluruh negara,” katanya.

Menyentuh mengenai Dr Ambedkar, Anwar menganggapnya sebagai tokoh besar dalam perjuangan menentang prejudis, diskriminasi dan penindasan khususnya di India.

“Saya kagum dengan kisah kegigihan Dr Ambedkar yang bangun melawan dan mengubah prejudis berusia ratusan tahun hingga menjadi Menteri Undang-Undang India yang pertama.

“Falsafahnya terkait demokrasi sosial yang mengupas soal keadilan, kebebasan dan persaudaraan begitu mengesankan,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button