Konvensyen Khas 25 tahun KEADILAN diawalkan Ahad ini
Konvensyen Khas 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang dijadualkan berlangsung pada 28 April, diawalkan kepada hari Ahad ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan parti itu, Fahmi Fadzil dipetik laporan Bernama.
Selain pertukaran tarikh, Fahmi turut mengumumkan lokasi program itu turut ditukar dari Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor kepada Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
“Tarikh asal pada 28 April, tapi diawalkan pada 21 April dan lokasi baharu di IDCC,” katanya ringkas dipetik Bernama.
BACA LAGI: Konvensyen Khas 25 tahun KEADILAN 28 April ini
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (MPP) yang berlangsung Mac lalu menetapkan konvensyen khas itu yang akan membincangkan hala tuju parti itu selain akan membahaskan isu-isu nasional.
Turut diputuskan adalah penganjuran Malam Sambutan 25 Tahun KEADILAN akan diadakan pada 11 Mei 2024 di Sentul Depot di sini.
Malam Sambutan 25 Tahun itu dijadual berlangsung sepanjang hari dengan acara kemuncaknya penyampaian Amanat Presiden KEADILAN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.