Jangan salah guna media sosial untuk sebar berita palsu
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarah mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun TikTok yang didakwa memuat naik kandungan video berunsur fitnah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pemilik akaun @janggut_putih itu memuat naik satu video lama yang dipercayai sengaja untuk menimbulkan rasa marah dalam kalangan masyarakat.
“Terima kasih. Ini video dari 2019, recycled untuk sengaja timbulkan rasa marah. @MCMC_RASMI akan kesan suspek dan ambil tindakan,” katanya.
Fahmi sebelumnya membalas aduan seorang pengguna aplikasi X yang antara lain meminta Menteri Komunikasi itu mengambil tindakan terhadap pemilik akaun Tiktok terlibat.
Dipetik laporan media, video berdurasi 1.49 minit itu memaparkan seorang individu menghamburkan kata-kata kesat dan mendakwa Kementerian Pendidikan (KPM) memaksa ibu bapa dan pelajar untuk mendaftar kad debit daripada sebuah bank antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC hari ini memanggil tiga aktivis media pro pembangkang untuk dirakam percakapan.
BACA LAGI: SKMM siasat 4 individu sebar kandungan palsu majlis tilawah dan hafazan al-Quran
Tiga pemilik akaun media sosial iaitu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo).
MCMC dalam kenyataan memaklumkan ia susulan aduan kandungan yang dimuat naik menerusi media sosial disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Suruhanjaya itu mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.