Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bermula di Johor hari ini
Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula hari ini di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall.
Bagi acara ini yang dijadualkan bermula dari jam 4 petang hingga 7 malam, Kerajaan Negeri Johor akan bertindak selaku tuan rumah dengan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian peneraju.
Sekretariat majlis sambutan itu melalui satu kenyataan berkata, tujuan utama penganjuran majlis berkenaan adalah bagi memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, serta membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.
Enam lagi lagi Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 dirancang untuk diadakan di Sabah pada 20 April, diikuti Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.
Sementara Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan pula akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu dari pukul 10.30 pagi hingga 3.00 petang, dengan Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah manakala Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju.
“Majlis ini akan dihadiri oleh Perdana Menteri sebagai tetamu jemputan utama dan turut dihadiri oleh menteri besar atau ketua menteri negeri berkenaan.
“Ia juga bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk meraikan hari kebesaran umat Islam bersama-sama pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri,” kata sekretariat tersebut.
BACA LAGI: Sambut sederhana dan langkah penjimatan, tiada rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana
Anwar sebelum ini memutuskan untuk tidak menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi beliau, Seri Perdana.
Sebaliknya, hanya akan menghadiri majlis sedemikian yang dianjurkan di peringkat negeri atau kementerian.
Pendekatan itu bagi membolehkan beliau bertemu dengan lebih ramai rakyat sekaligus mendengar sendiri permasalahan di peringkat akar umbi.