Global

Ops Ihsan lancar kempen #JanganSentuhRafah, seru masyarakat dunia bersolidariti demi Palestin

Ops Ihsan menyeru masyarakat antarabangsa memberi keutamaan kepada usaha menyelamatkan nyawa di tengah-tengah genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin oleh Rejim Zionis.

Sekretariat itu melalui satu kenyataan berkata, pembunuhan lebih 33,000 nyawa dalam tempoh 190 hari lalu termasuk kematian terkini 7 sukarelawan kemanusiaanyang terkorban akibat serangan semasa pengagihan bantuan di Kem Al-Nuseirat menggariskan keperluan mendesak untuk penamatan segera pembunuhan beramai-ramai ini.

Justeru pihaknya melancarkan kempen #HandsOffRafah (#JanganSentuhRafah) dan menjemput setiap individu dan organisasi di seluruh dunia untuk menyertai mereka dalam usaha genting menamatkan genosida dilakukan rejim Israel.

“Sebarang ancaman kepada usaha bantuan kemanusiaan wajib dihentikan serta-merta.

“Walaupun banyak negara menyuarakan resolusi ke PBB, Israel tetap meneruskan serangan sewenang-wenangnya terhadap rakyat Palestin.

“Ini dicontohi dengan serangan udara yang menyasarkan kem pelarian Shati di utara Gaza pada 12 April semasa sambutan Aidilfitri dan usaha amal World Central Kitchen (WCK) pada 4 April.

“Tindakan pencerobohan dan serangan sedemikian akan mengakibatkan satu lagi bencana lebih besar kepada genosid yang dunia sedang berjalan,” kata Ketua Misi Keterlihatan Ops Ihsan, Shahrul Aman Mohd Saari melalui kenyataan tersebut.

BACA LAGI: PM Anwar wakili suara majoriti rakyat dunia pertahan warga Palestin

Melalui kenyataan tersebut, beliau turut menegaskan bahawa pihaknya menentang sekeras-kerasnya sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap Rafah oleh Israel.

Justeru Ops Ihsan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersolidariti demi Palestin.

“Mari kita bersatu dan menggembleng usaha, pengaruh dan kreativiti kita untuk Palestin,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button