Anwar

PM Anwar ucap takziah kepada keluarga mendiang Joseph Kurup

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup serta keluarga atas kematian bapanya, Tan Sri Joseph Kurup pada Rabu.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata jasa dan pengorbanan mendiang sewaktu menjadi menteri di peringkat Persekutuan serta negeri pastinya akan dikenang oleh rakyat dan negara.

“Kepada Datuk Arthur Joseph Kurup dan keluarga, moga tabah dan kuat dalam menerima khabar duka akan pemergian Tan Sri Joseph Kurup,” katanya.

Joseph, yang juga Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, meninggal dunia di Institut Jantung Negara kira-kira pukul 7.30 malam pada usia 79 tahun.

Perkara itu disahkan oleh Arthur, yang juga Presiden PBRS, melalui hantaran di laman Facebook miliknya.

Bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) dan bersara daripada politik tahun lepas setelah memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu pada 1994.

Arthur menggantikan ayahnya sebagai Presiden PBRS pada Januari 2023.

Related Articles

Back to top button