Negeri

Lembaga Padi dan Beras dihidupkan semula di Sabah untuk rakyat – Hajiji

Lembaga Padi dan Beras Sabah yang sudah lama dimansuhkan akan dihidupkan semula dalam usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan tahap sara diri beras.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha menghidupkan semula agensi itu dipersetujui Kabinet negeri sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan pengeluaran makanan dan keterjaminan makanan negeri.

Beliau berkata, langkah itu penting berikutan Sabah ketika ini terpaksa mengimport kira-kira 70 peratus daripada keperluan beras rakyat negeri ini.

“Sabah perlu meningkatkan tahap sara diri makanan dan kita dapat melakukannya dengan menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah.

“Kabinet negeri akan mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk kelulusan bagi mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah seperti termaktub dalam Seksyen 3, Enakmen Lembaga Hasil Pertanian 1981,” katanya menerusi kenyataan selepas mesyuarat pasca Kabinet bagi Jabatan Ketua Menteri Sabah, di Menara Kinabalu, Sabah pada Rabu.

Berdasarkan laporan sebelum ini, tahap sara diri pengeluaran padi dan beras di Sabah hanya mencapai 23 peratus menyebabkan sebahagian besar keperluan beras negeri ini bergantung kepada bekalan import.

Pada 27 Julai 2023, Hajiji berkata, langkah untuk mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah adalah bagi membangunkan industri berkenaan di negeri itu sekali gus dapat meningkatkan paras tahap Sara diri (SSL) beras Sabah kepada 60 peratus menjelang 2030.

Related Articles

Back to top button