Umum

Hari Bumi Sedunia 2024: Jabatan Perikanan komited atasi isu pencemaran plastik

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited dalam menangani isu pencemaran plastik sempena Hari Bumi Sedunia yang bertemakan ‘Planet vs Plastics’ untuk mencapai sasaran pengurangan 60 peratus pengeluaran plastik global menjelang 2024.

Sebelum ini, DOF melalui Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) telah membangunkan kajian sejak lima tahun lalu untuk menganalisis mikroplastik di persekitaran akuatik Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, hasil kajian mendapati bahan kimia yang dijumpai dalam mikroplastik di perairan negara boleh membawa risiko jangka panjang terhadap kesihatan termasuk ketidakseimbangan hormon dan masalah reproduksi.

“Selain manusia, ikan yang terdedah di perairan yang mengandungi mikroplastik juga boleh membawa kesan negatif seperti keradangan dan kerosakan DNA yang memberi kesan kepada pertumbuhan dan kualiti ikan.

“Perkembangan penetasan penyu juga akan terancam akibat kepadatan mikroplastik yang tinggi di pantai kerana ia dapat meningkatkan suhu pasir pantai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Namun, DOF turut menyatakan kerjasama dari pihak kerajaan, perniagaan, komuniti sehingga setiap individu amatlah diperlukan untuk mengurangkan pencemaran dan penggunaan plastik terutamanya dalam kecekapan sistem pengurusan sisa dan galakan penggunaan bahan alternatif buat plastik.

Dalam pada itu, DOF telah melepaskan 100 induk ikan kelisa emas di Tasik Bukit Merah pada Ahad sebagai simbolik meraikan Hari Bumi 2024 untuk memulihara serta menjamin kelestarian khazanah bumi.

Related Articles

Back to top button