Semasa

Nahas helikopter: Sambutan Ulangtahun TLDM dibatalkan, diganti majlis tahlil – Menteri

Sambutan Hari Ulangtahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 termasuk acara terbuka lain yang dijadual diadakan di Pangkalan TLDM Lumut bermula 25 April hingga 5 Mei ini dibatalkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sambutan itu akan digantikan dengan majlis tahlil susulan insiden nahas dua helikopter yang mengorbankan 10 anggota TLDM semalam.

“Semua acara dibatalkan, kecuali majlis doa selamat dan tahlil yang akan diadakan Jumaat ini atas perkenan Sultan Selangor yang juga Kapten Kehormat TLDM,” katanya pada sidang media ketika meninjau lokasi nahas itu di Pangkalan TLDM itu.

Dalam kejadian pagi semalam semua anggota berusia antara 26 hingga 41 tahun yang terkorban apabila dua helikopter bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang.

Susulan itu Mohamed Khaled berkata, TLDM akan menubuhkan sebuah jawatankuasa lembaga penyiasat yang akan dibantu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) bagi siasatan insiden itu.

Manakala Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM akan membantu menguruskan jenazah mangsa dan memastikan segala manfaat dan faedah wajar diterima balu serta keluarga mangsa.

Related Articles

Back to top button