Amirudin azam perkasa pendidikan Islam, TVET jika terus tadbir Selangor
Pentadbiran Selangor yang diketuai Pakatan Harapan (PH) berazam meneruskan usaha memperkemas tiga perkara berkaitan bidang pendidikan sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu adalah pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), menangani masalah kelulusan mata pelajaran Sains dan Matematik serta memperkasa pendidikan Islam.
“Ketika ini bidang teknikal dan vokasional amat bernilai tinggi dan ia bagaimanapun masih perlu diperkemas di segenap peringkat.
“Selepas ini kita akan turun di peringkat sekolah menengah supaya pelajar-pelajar yang cemerlang dan berminat ini masuk bidang teknikal dan vokasional,” katanya di majlis penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvesyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Jumaat.
Mengulas lanjut azam tersebut beliau menjelaskan sejak sejak 10 tahun lalu, Selangor menghadapi isu kekurangan tenaga kerja mahir atau pakar dalam bidang kejuruteraan.
Kelemahan itu didorong oleh faktor tiada bakat baharu yang boleh digilap di peringkat sekolah dan beliau berpandangan sesuatu perlu dilakukan bagi menanganinya.
“Kita perlu buat sesuatu. Kita akan perkukuh dan terlibat dengan sekolah kerana ini zaman sains dan teknologi.
“Kita mahu bantu pelajar atau anak-anak kita yang tiada asas dalam Sains dan Matematik, kemungkinan kemajuan pembangunan kita akan diisi oleh orang lain dan kita akan ketinggalan,” katanya.
Menyentuh mengenai isu pendidikan Islam di Selangor Amirudin berkata, susulan kejayaan penganjuran Festival Turath Islami baru-baru ini, satu silibus baharu pengajian Islam akan diperkenal selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
Kerajaan Negeri juga jelasnya mahu menambah baik kemudahan, cara pengendalian serta proses kelulusan kepada semua sekolah agama persendirian di Selangor.
“Saya beri jaminan kepada gabungan sekolah-sekolah swasta ini, selepas kita selesai sekolah tahfiz, kita akan pergi dan bantu mereka dapatkan pengesahan.
“Sekolah yang belum sempurna pendaftarannya, kita tidak niat mahu tutup, tetapi kita akan perkukuh pendidikan agama dan pastikan mereka selamat dan dapat didik anak-anak kita,” katanya Naib Presiden KEADILAN itu lagi.