Nasional

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) akan berkuat kuasa 1 Jun depan – Menteri

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan 2022) akan berkuat kuasa pada 1 Jun depan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau telah menandatangani pewartaan akta berkenaan.

“Kita juga telah mempercepatkan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang telah diluluskan pada penghujung 2021.

“Jadi saya telah menandatangani warta untuk menguatkuasa pindaan terbaharu Akta ini pada 1 Jun 2024,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja di Cyberjaya, hari ini.

Pindaan Akta itu antara lain menekankan kepentingan pihak berwajib dan majikan untuk menilai situasi berisiko di tempat kerja.

Tambahnya lagi, pindaan tersebut turut mewajibkan mana-mana syarikat yang mempunyai lebih dari lima pekerja untuk melantik seorang pelaras keselamatan dan kesihatan.

“Antara perkara dalam pindaan terbaharu ini adalah ada satu tafsiran risiko untuk pihak berwajib dan majikan untuk menganalisa risiko di tempat kerja.

“Ada juga kewajiban untuk melantik penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekarang syarikat yang lebih lima orang pekerja atau ke atas wajib melantik seorang pelaras keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.

Akta Keselamatan dan Kesihatan (AKKP) (Pindaan 2022) perlu dikuat kuasakan segera susulan dua kes kemalangan maut di tempat kerja yang telah berlaku.

Terdahulu, pada Disember 2023, negara digemparkan dengan dua kes bencana kerja yang telah meragut nyawa di Selangor dan Pulau Pinang.

Di mana sebelum ini, media melaporkan, pekerja teknikal, R. Tinesh Kumar maut apabila kepalanya tersepit pada pintu lif ketika menyelenggara fasiliti itu di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burma, Georgetown pada 26 Disember lalu.

Sehari kemudian, satu lagi kejadian membabitkan pekerja kilang, Nur Ahmad Yusoff meninggal dunia akibat terjatuh dari tempat tinggi ketika melakukan tugas pembersihan di Banting, Selangor.

Related Articles

Back to top button