Anwar

PM Anwar yakin dapat tarik pemimpin industri melabur di Malaysia

Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) mengumpulkan lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan dari seluruh pelusuk dunia di Riyardh, Arab Saudi pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia pada sidang khas itu dan turut disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Anwar Ibrahim pada hantaran di Facebook miliknya, mesyuarat itu penting untuk barisan delegasi Malaysia meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia.

Katanya, peluang-peluang perdagangan dan pelaburan itu sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia.

“Ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara dengan menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.

“Saya beri jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini,” katanya.

Anwar juga percaya lebih banyak pelabur-pelabur bernilai tinggi akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan NVIDIA.

Untuk rekod, antara syarikat yang turut menyertai sesi ini termasuklah Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.

Related Articles

Back to top button