Gaji naik lebih 13 peratus, pendapatan minimum penjawat awam lebih RM2,000 sebulan – PM Anwar
Penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah 13 peratus namun Kerajaan Madani akan memastikan jumlahnya akan lebih tinggi daripada itu.
“Untuk tahun depan, bila kita mula laksanakan, ia akan mencecah lebih RM10 bilion, kerana jumlahnya agak besar dan kenaikannya agak lumayan dan ini adalah kenaikan paling baik dalam negara.
“Kita juga akan meneliti daripada segi kewangan dan bagaimana ia boleh menampung tetapi pada masa sama hutang negara tidak lebih (daripada sepatutnya,” katanya.
Tambah Anwar, kerajaan juga akan memastikan jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.
“Sebelum ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan.
“Namun di bawah SSPA yang sedang diperincikan, kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan Pekerja KESUMA Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Ahad.