Nasional

Anggota perkhidmatan awam harap terus beri komitmen penuh – KSN

Anggota perkhidmatan awam diharap terus memberikan komitmen penuh bagi memastikan agenda pembaharuan digarap kerajaan MADANI dapat dilaksanakan demi kestabilan dan kesejahteraan negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, ini seiring pengumuman kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada sambutan Hari Pekerja di Putrajaya, hari ini.

“Saya mewakili seluruh perkhidmatan awam menzahirkan syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI atas pengumuman kenaikan gaji penjawat awam,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.

Dalam hantaran berasingan sempena Hari Pekerja, Mohd Zuki berkata, pembinaan negara bangsa amat bergantung kepada produktiviti dan prestasi pekerja yang menjadi jentera utama pembangunan negara.

“Pekerja yang berintegriti, produktif, kreatif dan inovatif serta memiliki jati diri yang teguh adalah aset penting yang akan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia seiring dengan matlamat Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau juga berharap semua pekerja untuk bersama-sama mendukung aspirasi itu demi mengangkat martabat negara ke persada dunia.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember ini, antara yang tertinggi dalam sejarah negara membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Related Articles

Back to top button