Pilihanraya

PRK Kuala Kubu Bharu: PN berada dalam situasi ‘panic mode’- Fahmi

Ketidakhadiran pemimpin utama Parti PAS membantu kempen Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu mencetus panik kepada calon gabungan itu.

Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil mendakwa, ketiadaaan pimpinan PAS bersama PN membayangkan gabungan pembangkang itu sedang menghadapi krisis besar.

“Kita nampak riak wajah pemimpin BERSATU seperti ada yang tidak kena di sepanjang kempen di sana,” katanya selepas merasmikan Pusat Operasi Pakatan Harapan di Presint 11 Putrajaya pada Rabu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi sebelum ini mempersoal keberadaan pemimpin PAS di Perlis berbanding di Kuala Kubu Bharu ketika hari penamaan calon.

Katanya, perkara itu dilihat agak ‘menarik’ namun beliau tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin PAS susulan tindakan itu.

Sementara itu Fahmi mendakwa ketiadaan pemimpin utama PAS turun membantu calon dipertaruhkan BERSATU telah meletakkan gabungan itu dalam situasi ‘panic mode’.

Susulan itu menurutnya PN yang ketandusan idea terpaksa bermain dengan isu kaum dan agama termasuk berkaitan sekolah vernakular.

Justeru, Fahmi menggesa supaya menghentikan bermain dengan sentimen perkauman kerana ia ibarat “senjata makan tuan.”

“Berapa ramai pimpinan PAS hantar anak (mereka) ke sekolah Cina malah saya difahamkan cucu Hadi (Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang) dihantar ke sekolah Cina,” katanya.

Related Articles

Back to top button