PM Anwar singkap jihad warga Palestin dizalimi rejim zionis Israel
Pimpinan negara Islam perlu berani menegur dan menyatakan pandangan dalam isu kekejaman yang berlaku ke atas rakyat Palestin ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa yang sama, Anwar turut menyingkap jihad warga Palestin yang dizalimi rejim zionis Israel secara berterusan dengan dukungan negara-negara Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS).
“Lebih mengecewakan adalah kelesuan suara pimpinan negara Islam yang hilang upaya dan kekuatan untuk menyatakan sikap keras dan tegas bagi menuntut kezaliman ini dihentikan.
“Saya kemudian tegaskan betapa umat keseluruhannya sama ada pimpinan politik, ulamak, sarjana, petani, nelayan mahupun pekerja perlu bangkit daripada kealpaan, kecuaian dan kelemahan jika mahu melihat perubahan yang sebenar,” katanya.
Beliau mengungkapkan perkara berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook ketika berucap pada Majlis Perkampungan Sunnah Siri Kesembilan di Masjid Alwi di Perlis, pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perubahan dan reformasi yang kukuh dan berkekalan hanya boleh dicapai sekiranya kita bermula dengan membina kekuatan dalaman.
“Iaitu dengan memperbaiki tatakelola dan menangani rasuah yang sistemik dalam negara.
“Ramai yang hanya bicara soal warak dan zuhudnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila menelaah kepemimpinannya. Namun Umar Abdul Aziz juga adalah teladan yang baik dalam aspek kenegaraan, di mana beliau menekankan soal tatakelola dengan membenci dan menolak rasuah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hanya budaya ilmu yang subur mampu memastikan rakyat dapat menguasai pengetahuan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, sekali gus memastikan negara ini berjaya dalam jihad berdepan tantangan mendatang.