Hadir acara Perkampungan Sunnah bukti jiwa besar Anwar – Felo Institut Islam Hadhari
Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Zaid Ahmad memuji kesudian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 di Masjid Alwi Kangar Perlis minggu lalu.
Dipetik laporan Bernama, Dr Zaid berkata kesudian Anwar memenuhi undangan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu dilihat sebagai berjiwa besar dan wajar diteladani.
“Kesudian Anwar hadir ke program yang dikaitkan secara langsung dengan Mohd Asri yang amat kritis ketika menyuarakan pandangan termasuk terhadap kepimpinan Anwar adalah bukti sikap keterbukaan Perdana Menteri dalam soal perbezaan pendapat.
“Anwar dilihat tidak menyimpan apa-apa perasaan negatif kepada Mohd Asri sebaliknya menerima pelawaan beliau menghadiri program Perkampungan Sunnah Siri Ke-9, baru-baru ini.
“Ini jiwa besar, sifat negarawan dan sikap keterangkuman luar biasa yang ditunjukkan oleh beliau sebagai pemimpin nombor satu negara,” katanya.
Anwar mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri pertama menghadiri acara itu, malah turut menyampaikan ucaptama di hadapan para ulamak, pemikir, pemimpin dan ribuan rakyat yang hadir.
Beliau pada ucaptama tersebut menyingkap kisah kewarakan Khalifah Umar Abdul Aziz dan keagungan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dalam aspek peperangan sehingga menawan Baitulmuqaddis, Anwar juga mengingatkan hadirin supaya meneladani ketegasan kedua-dua tokoh itu dalam soal tatakelola dan kebencian mereka kepada rasuah.
BACA LAGI: Umat Islam perlu kuasai, tentukan nilai AI dalam negara – PM Anwar
Selain itu Anwar turut menyatakan kekecewaannya mengenai kelesuan suara pimpinan negara Islam untuk menuntut kezaliman rejim Zionis Israel terhadap warga Palestin dihentikan.
Sementara itu, Zaid berkata, dengan kehebatan pidato, kekuatan ilmu dipamer, artikulasi dan kemantapan hujah dan keluasan bidang yang disentuh, ucaptama Anwar itu cukup memberi kesan dan memuaskan hati para hadirin.
Malah kata Zaid, ucaptama yang berkesan itu mendorong Mohd Asri memberi komentar dengan berkata: “Ucapan Anwar sangat luar biasa. Saya tidak fikir mana-mana pemimpin negara sebelum ini yang boleh bercakap seperti itu. Kami sangat berterima kasih kepada kehadiran dan keterbukaan beliau.” .” kata ahli akademik itu seperti dilapor.