Perincian gaji penjawat awam perlu dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian kenaikan gaji penjawat awam menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu melalui pelbagai proses termasuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa kenaikan gaji lebih 13 peratus untuk penjawat awam adalah muktamad, beliau menjawab pertikaian dibangkitkan segelintir pihak yang mendakwa pengumuman itu tidak lengkap termasuk belum dibentangkan dalam Belanjawan 2025.
“Ada orang cabar kenapa tak umum secara terperinci.. saya kata tak boleh sebab ada prosesnya.
“Prinsipnya kita boleh umum tapi yang kecil-kecil itu kita kena bentangkan dulu pada Jemaah Menteri.. dah ada yang pertikai maknanya belum muktamad la tu,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
“Ada pula kata mana tau Parlimen tak luluskan… saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah ni?,” soal Anwar.
Pada 4 Mei lalu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melalui hantaran di Facebooknya mendakwa kenaikan tangga gaji itu adalah ‘berita tidak pasti lagi’, memandangkan ia hanya akan dilaksanakan jika Belanjawan 2025 diluluskan.
Anwar bagaimanapun berkata jika terdapat percubaan untuk menggagalkan Belanjawan 2025, ia tetap akan diluluskan dengan sokongan penuh Ahli Parlimen parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kalau pun bantah, ada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah majoriti tetap dua pertiga,” ujarnya.