Anwar

Kakitangan kerajaan rosakkan nama baik perkhidmatan awam terus dipantau – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua penjawat awam memantau dan mengenal pasti kakitangan kerajaan yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

Tegas Perdana Menteri, mereka yang didapati malas, cuai dan tidak hadir kerja, tidak boleh menerima layanan yang sama termasuk mendapat kenaikan gaji.

“Ada yang pertikai, kalau di sekolah, mungkin lebih 90 peratus guru menjalankan tanggungjawab, (namun) ada guru yang cuai, ada yang kadang-kadang tak hadir.

“Begitu juga masalah di jabatan, ada golongan kecil rasuah, tidak datang kerja dan pelbagai masalah.

“Kita tidak akan beri layanan yang sama, jadi sementara kita berikan satu anjakan radikal dari segi pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara untuk mengawal sendiri jabatan, kenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin.

Tambah Anwar, beliau mahu penjawat awam mengekalkan integriti supaya ia setimpal dengan pengiktirafan dan keyakinan kerajaan berikan melalui pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menurutnya, penjawat awam juga perlu faham bahawa kerajaan bertanggungjawab dan komited melaksanakan pelarasan gaji terbabit walaupun negara mewarisi hutang, defisit selain berdepan masalah ketirisan yang masih berlaku.

“Tetapi komitmen kita bagi membantu dengan dana yang ada bagi masyarakat miskin majoriti Melayu Bumiputera, ada kelompok kecil Cina di bandar dan masyarakat India yang relatif miskin terutama di estet dan pinggir bandar, itu komitmen tidak boleh dipertikai.

“Walaupun dalam dunia politik, itu menjadi perbahasan, saya tidak ada masalah tetapi tanggungjawab kita, komitmen kita harus diteruskan,” katanya.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Terdahulu, pada sambutan Hari Pekerja yang lalu, Anwar mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember depan.

Related Articles

Back to top button