Agong, Raja Permaisuri adakan Lawatan Negara ke Singapura
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat tiba di Singapura pada Isnin bagi mengadakan Lawatan Negara selama dua hari ke republik berkenaan.
Lawatan Negara itu adalah yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta pada 31 Januari lepas atas jemputan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong berangkat dari Istana Besar, Johor pada pukul 9.45 pagi dengan kereta diiringi dua Menteri Pengiring iaitu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua turut diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong dijadualkan menerima Sambutan Negara di Istana Singapura, diikuti dengan pertemuan bersama Presiden Tharman dan juga Datuk Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura.
Presiden Tharman juga akan meraikan Seri Paduka Baginda berdua di dalam satu Majlis Santapan Negara.
Hari kedua Lawatan Negara pada Selasa akan dimulakan dengan Yang di-Pertuan Agong dijadual menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong disusuli lawatan ke bangunan Parlimen.
Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan untuk melihat perkembangan projek stesen Projek Rapid Transit System Link (RTS Link).
RTS Link merupakan projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim pada 22 November 2020 berkenan merasmikan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan.