Garis panduan urus salah laku seksual di sekolah bakal diperkasa
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkasa garis panduan pengurusan salah laku seksual di sekolah.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya turut akan menggiatkan latihan advokasi kepada guru berhubung tatacara pengendalian kes salah laku seksual di peringkat sekolah bagi mengekang jenayah rogol membabitkan kanak-kanak di bawah umur.
“Di sekolah, kita tegaskan semula pengurusan anti gangguan seksual (merangkumi) proses aduan serta tindakan yang mesti diambil dengan segera sebaik guru tahu tentang perilaku terbabit.
“Kita mahu anak-anak percaya bahawa mereka mempunyai tempat selamat membuat aduan dan seterusnya dilindungi.
“Misalnya, di peringkat guru sukan, kita memperkenalkan kod sukan selamat bagi memastikan anak murid dapat membuat aktiviti dengan selamat daripada sebarang gangguan seksual,” katanya kepada pemberita.
Fadhlina sebelumnya ditemui selepas merasmikan Seminar dan Sudut Pemikiran Datuk Dr Siddiq Fadzil di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar pada Selasa.
Terdahulu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Isnin mendedahkan bahawa kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur, khususnya murid meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
BACA LAGI: KPM tambah guru kaunseling, tangani gangguan seksual di sekolah
Sementara itu tambah Fadhlina, KPM akan bekerjasama bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam program advokasi itu.
“Baru-baru ini, KPM juga melaksanakan Konvensyen Perlindungan Murid daripada Eksplotasi Seksual.
“Saya sudah sebut, jika berlaku dalam sekolah, kita tidak akan kompromi. ‘You touch, you go’, itu memang pendekatan dan penegasan yang sudah kita berikan sebelum ini,” tegasnya.