Semasa

Dasar MBMMBI martabatkan Bahasa Melayu, manfaatkan potensi Bahasa Inggeris – Fadhlina

Bahasa Inggeris bukan sekadar mata pelajaran yang perlu dipelajari, tetapi alat berharga yang boleh membuka pintu kepada dunia yang penuh kemungkinan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Bagaimanapun tegasnya, pemerkasaan Bahasa Melayu harus seiring usaha pengukuhan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua supaya kedua-duanya tidak dipinggirkan.

“Satu langkah penting ke arah ini ialah pelaksanaan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris). Dasar ini adalah untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sambil memanfaatkan potensi ekonomi bahasa Inggeris sebagai bahasa global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah ‘ELS Language Centres (ELS) English Language Ambassador Award Essay Writing Competition’ di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu tambahnya, selain usaha memperkasa kedua-dua bahasa itu, kerajaan turut menumpukan kepada empat aspek lain iaitu digital; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluasan prasekolah.

BACA LAGI: Amalan baca akhbar di sekolah bantu murid perkasa bahasa Melayu

“Jadi usaha seperti ini, kita harap dapat kita kembangkan, sebab itu saya buka ruang yang seluasnya untuk kita terus bekerjasama dengan semua pihak, khususnya dalam aspek-aspek yang saya sebut tadi dan hala tuju negara ketika ini”, katanya.

Terdahulu, Fadhlina menyampaikan hadiah kepada 10 pemenang pertandingan penulisan Bahasa Inggeris dalam talian yang disertai seramai 30,987 pelajar tingkatan lima dan empat dari 516 sekolah di seluruh negara tahun lepas.

Related Articles

Back to top button