Persekutuan peruntukkan RM1.69 bilion untuk lima Projek Tebatan Banjir di Selangor
Sebanyak RM1.69 bilion telah diperuntukkan Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
Pengarah JPS Selangor Nasser Salim berkata peruntukkan itu bagi melaksana lima Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi di negeri itu membabitkan daerah Klang, Petaling dan Sepang.
Selain projek Tebatan Banjir, peruntukkan itu juga akan digunakan bagi melaksanakan projek penstabilan dan pengukuhan tebing, menaik taraf saliran dan projek lain yang berkaitan dengan Fenomena Air Pasang Besar.
“Memandangkan pelaksanaan projek jangka panjang mengambil tempoh masa yang agak lama, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan kepada JPS Selangor untuk melaksanakan projek jangka masa sederhana dan pendek yang akan memberi penyelesaian secara setempat, terutama melibatkan kawasan kerap berlaku (hotspot) banjir,” katanya dipetik laporan Bernama.
Mengulas isu banjir di negeri itu beliau berkata, terdapat 79 kawasan kerap berlakunya banjir dan 354 kawasan berisiko banjir di Selangor.
“Punca banjir yang dikenal pasti termasuk hujan lebat, limpahan air sungai, ketiadaan sistem perparitan yang sempurna dan pertembungan hujan lebat dengan air pasang besar,” tambah laporan itu.
BACA LAGI: Peruntukan hampir RM1 bilion untuk Kelantan, PM Anwar serius atasi masalah banjir
Sehubungan itu tambahnya, JPS Selangor telah melaksanakan langkah-langkah pengurusan terbaik dalam mengatasi masalah banjir di negeri itu termasuk dengan mensyaratkan keperluan pembinaan tadahan air berdasarkan Purata Selang Ulangan 100 ARI bagi setiap permohonan pembangunan tanah.
Turut dilaksana adalah pemantauan dan kerja baik pulih segera ke atas sistem perparitan bagi memastikan sistem perparitan sentiasa berfungsi dengan baik.
“Selain itu JPS Selangor juga menjalankan kerja penyelenggaraan secara berkala untuk memastikan kapasiti saliran berada pada tahap optimum sebelum musim Monsun Timur Laut,” katanya.