Semasa

Mendiang Mutang Tagal dikebumikan di Miri pada Isnin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.

Beliau melalui satu hantaran di laman Facebooknya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan mendoakan ketabahan mereka untuk berdepan dugaan itu.

“Mendiang adalah orang Dayak pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan ia pastinya satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.

“Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat selama-selamanya,” kata perdana menteri melalui catatan itu.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara pada Jumaat mengesahkan Mutang, 69, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Mutang dirawat di Hospital pakar itu sejurus tiba dari Azerbaijan pada Isnin lepas, selepas melakukan lawatan kerja dan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya di negara itu bermula 29 April dan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.

Berasal dari Lawas, beliau menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang menjadi Speaker Dewan Negara.

Sementara itu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Mutang Tagal.

“Pemergian beliau ketika berkhidmat untuk negara. Semoga keluarga mendiang tabah dalam menghadapi masa yang sukar ini. Salam takziah,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Majlis penghormatan terakhir buat mendiang Mutang dijadualkan akan diadakan di Nirvana 2, Jalan Dewan Bahasa Kuala Lumpur dari jam 10 pagi hingga 2 petang hari in

Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di Miri bermula jam 10 pagi pada Ahad sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Sidang Injil Borneo (SIB) Lambir di bandar raya Miri, Sarawak, pada Isnin (13 Mei) ini.

Related Articles

Back to top button