Semasa

Waris lelaki maut dihempap pokok layak dapat manfaat PERKESO – Menteri Sumber Manusia

Waris keluarga lelaki yang maut dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur 7 Mei lalu layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong melalui satu kenyataan berkata, semakan Skuad PERKESO Prihatin mengesahkan mangsa Md Rizal Atan, 47, adalah pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 1 Januari 1995.

Justeru jelasnya, balu Allahyarham iaitu Norpahidah Mat Zaman, bakal menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM3,400 sepanjang hayat.

“Manakala empat anaknya masing-masing berumur antara 3 hingga 18 tahun diberikan manfaat FOT sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama,” jelasnya.

Steven Sim sementara itu berkata, sebagai pencarum, waris keluarganya juga layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 secara sekali bayar oleh PERKESO.

Bayaran itu dibuat menerusi Skim Bencana Pekerjaan bawah Akta 4,” tambahnya.

BACA LAGI: Menteri Wilayah arah DBKL kaji SOP pemantauan ‘pokok tua’ sekitar Kuala Lumpur

Dalam kejadian pada Selasa lalu, Md Rizal yang bekerja sebagai pemandu sejak 2018 meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya akibat terlibat dalam insiden pokok tumbang

Media kemudian melaporkan Nor Pahidah Mat Zaman, 43, buntu memikirkan masa depan anak-anaknya yang masih bersekolah susulan pemergian suaminya itu.

“Saya memang tak boleh nak fikir apa-apa lagi (perancangan selepas pemergian suami) kerana sebelum ini saya memang mengharapkan sumber pendapatan daripada suami sebab saya tidak bekerja dan suri rumah sepenuh masa.

“Sekarang hendak bekerja pun umur sudah 43 tahun tambahan pula saya ada anak kecil berusia empat tahun,” jelasnya.

Sementara itu menurut Steven Sim, kesedaran majikan dalam melunaskan tanggungjawab untuk mencarum pekerjanya telah meringankan beban keluarga tersebut bagi melalui episod hitam tersebut menerusi perlindungan jaringan keselamatan sosial pemberian Perkeso menerusi sokongan kewangan.

Related Articles

Back to top button