Peningkatan perdagangan borong, runcit bukti tindakan KPDN berada pada landasan yang betul – Armizan
Nilai jualan perdagangan borong dan runcit yang meningkat sebanyak 5.2 peratus pada Mac tahun ini menunjukkan ekosistem perekonomian domestik negara berada dalam keadaan segar dan progresif.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan itu turut membuktikan peranan dan tindakan dilaksanakan kementerian berada pada landasan yang betul.
“Peningkatan peratusan prestasi nilai jualan borong dan runcit itu membawa makna bahawa segala tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan yang kita laksanakan berada pada landasan betul.
“Kita bukan hanya menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang ada tetapi kita juga dapat melihat bahawa pasaran menunjukan respon positif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian program Jelajah Karnival KPDN peringkat Perlis pada Sabtu.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik 5.2 peratus kepada RM145.7 bilion pada Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Dalam pada itu, Armizan menjelaskan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi bukan bermaksud kerajaan memotong atau memansuhkan subsidi sebaliknya bertujuan memastikan ia benar-benar sampai kepada golongan sasar.
Menurut beliau, penyasaran semula subsidi juga akan membolehkan kerajaan meningkatkan jumlah pemberian tunai kepada rakyat.
Tambah Armizan, kerajaan berpendirian bahawa langkah melaksanakan penyasaran semula subsidi mesti disertai dengan jaminan perlindungan dan bantuan sosial untuk rakyat.