Perak lakar sejarah, negeri pertama terima dana Sejati MADANI
Perak melakar sejarah sebagai negeri pertama menerima dana Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak sembilan komuniti Jabatan Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpilih menerima dana keseluruhan sebanyak RM779,940 itu.
“Program ini merupakan pengisian kepada kerangka ekonomi Madani yang berteraskan konsep Malaysia Madani dengan berfokuskan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam meningkatkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat dan menangani isu miskin tegar,” katanya.
Saarani sebelumnya hadir ke Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 3 di Dewan Merdeka di Tapah semalam.
BACA LAGI: Perak setuju bekal air kepada Pulau Pinang
Sejati Madani merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian Dana sehingga RM100 ribu kepada komuniti yang layak.
Projek-projek yang menerima dana itu merangkumi penanaman sayur secara hidroponik, pisang abu, tebu, fertigasi penanaman cili, pembuatan kuih tradisional dan penternakan ikan air tawar.
“Setakat 13 Mei 2024, Perak masih mencatatkan sebagai negeri yang tertinggi dari aspek penjanaan ID Komuniti pengguna Sistem MySejati Madani iaitu sebanyak 276 komuniti, manakala dari aspek jumlah permohonan program yang diterima adalah sebanyak 86 permohonan,” tambah Saarani.