Aminuddin Harun sokong pertemuan PM dengan pemimpin Hamas
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyokong pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar.
Jelasnya, pertemuan itu penting bagi Anwar sebagai pemimpin untuk memahami sendiri apa yang sebenarnya berlaku di Palestin ketika ini.
“Walaupun kita maklum ada bantahan atau ketidakpuashatian daripada beberapa negara seperti Amerika Syarikat, tetapi dalam konteks negara berdemokrasi, kita haruslah mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak Hamas sendiri berkenaan apa yang berlaku di Palestin.
“Bagaimana pembunuhan anak-anak dan wanita yang berlaku itu, supaya dapat gambaran yang sebenar.
“Sebagai pemimpin, apabila bercakap biarlah berfakta.
“Ini satu perkara yang baik untuk Perdana Menteri supaya boleh menyampaikan sendiri hasrat beliau (kepada Hamas) dan pada masa yang sama tidak bergantung kepada laporan pihak ketiga,” jelas Aminuddin.
Anwar sebelum ini telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Ismail Haniyeh dan bekas ketua pergerakan itu, Khaled Masyal.
Pertemuan tertutup lebih sejam itu berlangsung di sebuah hotel di Doha, dengan antara intipatinya berkisar perkembangan konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.