Semasa

Menteri KKM arah doktor pelatih ditempatkan segera ke hospital memerlukan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengambil maklum isu kekurangan doktor seperti yang tular baru-baru ini.

Melalui satu hantaran di platform X pada khamis Dr Dzulkefly berkata, beliau sudah memberi arahan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan agar doktor pelatih segera ditempatkan ke hospital-hospital daerah yang memerlukan.

“Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan para petugas saban hari dan minggu. Namun ditegaskan, saya telah mengarahkan Datuk Ketua Pengarah Kesihatan supaya segera menempatkan kembali doktor pelatih ke hospital-hospital daerah yang memerlukan.

“Langkah-langkah tambah baik jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksanakan,” katanya melalui hantaran tersebut.

Sebelum ini tular gambar di sebuah papan kenyataan di sebuah hospital di Kulim, Kedah yang memaklumkan situasi mereka yang kekurangan doktor.

Menerusi kenyataan yang tertera, pihak hospital meminta maaf kerana masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan mungkin mengambil masa lebih lama iaitu sehingga lima jam.

“Doktor kami kerja sampai naik pengsan. Lapan (doktor) sakit masih kerja. Ada yang sudah letak jawatan, pergi swasta.

“Kami ingin berkhidmat untuk rakyat tetapi kami juga manusia, boleh penat dan sakit. Harap tuan-tuan dan puan-puan faham. Minta maaf,” kata kenyataan yang tular tersebut.

BACA LAGI: KKM jalankan kajian menyeluruh keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan

Sebagai rekod Dr Dzulkefly baru-baru ini memaklumkan, kementeriannya sedang menjalankan kajian menyeluruh berhubung perancangan keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan kerajaan.

Ia jelasnya bagi memastikan sumber manusia atau jumlah petugas seperti doktor, pakar perubatan dan jururawat dapat disediakan secukupnya selari dengan fasiliti kesihatan yang dibangunkan.

Related Articles

Back to top button