KBS harap siasatan kes serangan terhadap 3 pemain bola segera diselesaikan
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap siasatan insiden serangan melibatkan tiga pemain bola sepak negara baru-baru ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
Ditemui pemberita pada lawatan kerja di Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar pada Jumaat beliau berkata, kementerianya sangat bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan pihak polis khususnya dalam mengenal pasti motif di sebalik insiden itu demi melindungi keselamatan atlet negara.
“Kita bergantung sangat kepada pihak polis dan dalam usaha untuk melindungi atlet negara kerana mereka adalah aset negara, saya minta IGP (Ketua Polis Negara) untuk pastikan siasatan berjalan dengan cepat.
“Ini supaya kita boleh ambil tindakan cepat kerana saya percaya ramai yang sedang menunggu hasil siasatan tersebut,” katanya sebagai menjawab mengenai jaminan keselamatan atlet termasuk yang akan mengambil bahagian di Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu menurut Hannah, kementerianya sudah memperkenal Kod Sukan Selamat sejak tahun lepas.
Ia merupakan garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat serta peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani gangguan serta penderaan dalam sukan.
Bagaimanapun jelasnya, dalam isu keselamatan atlet, ia terletak dibawah tanggungjawab pihak berkuasa polis.
“Itu sebab kita minta kerjasama Kementerian Dalam Negeri untuk pastikan atlet kita dijaga dengan baik.
“Kita nak pastikan persatuan sukan juga mengambil berat (keselamatan) atlet mereka dan untuk atlet yang akan bertanding seperti bola sepak, saya tahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meminta mereka perketatkan lagi keselamatan,” jelasnya.
BACA LAGI: ABIM kecam serangan terhadap pemain bola, gesa tolak ekstremisme dan hooliganisme
Sementara itu sebagai mengulas kerja naik taraf di Stadium Tuanku Syed Putra, Hannah memaklumkan projek membabitkan kos RM7.63 juta telah siap 100 peratus.
“Saya berharap dengan adanya fasiliti ini khususnya trek balapan, atlet olahraga Perlis akan menggunakannya dengan baik,” katanya.