SemasaTeknologi

Agensi perbankan diseru perkasa digitalisasi supaya tidak ketinggalan

Agensi perbankan di Malaysia diseru untuk bersiap sedia dalam menghadapi cabaran baharu pada masa hadapan terutamanya dalam teknologi pendigitalan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk R Ramanan berkata, langkah tersebut berupaya menangani setiap kekangan dalam era semasa selain memperkasa operasi bank bagi meningkatkan kecekapan serta memperluas pengalaman pelanggan.

“Kita tengok Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menujukkan minat terhadap teknologi pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI). Jadi, kalau kita tak memajukan diri dengan mengambil peluang ini, kita akan ketinggalan.

“Ini sangat penting untuk kita (Malaysia) menuju ke arah digitalisasi seperti negara-negara maju lain,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 di Shah Alam pada Sabtu.

Sementara itu Ramanan berkata, kementeriannya sentiasa menyokong inisiatif Bank Rakyat dalam memacu pembangunan sektor keusahawanan serta koperasi negara.

BACA LAGI: KUSKOP ganda usaha, tarik penyertaan belia dalam koperasi

Komitmen berterusan agensi berkenaan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif keusahawanan dengan menghubungkan usahawan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan juga memberikan impak besar.

“Usaha ini amat sejajar dengan matlamat Kuskop menerusi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) dalam melahirkan usahawan berdaya saing dan kompetitif di pasaran domestik mahu pun global.

“Ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang 2030 khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi,” katanya pada sidang media itu.

Related Articles

Back to top button