Tak perlu simpati kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram – Majlis Fatwa Johor
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengingatkan orang ramai supaya tidak bersimpati ke atas suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad telah membincangkan isu berkaitan serangan tersebut.
“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya.
“Mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu,” kata Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu turut memaklumkan, jawatankuasa fatwa memutuskan kedudukan kubur penyerang diletakkan berjauhan dan diasingkan dari kubur yang lain.
Selain itu, jenazah penyerang hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja dan tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.
“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
“Ia sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara sama yang dilakukan suspek,” katanya.
BACA LAGI: PM Anwar kecam serangan pengganas di Balai Polis Ulu Tiram
Proses pengkebumian penyerang dilaksana semalam dengan kawalan ketat dengan hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis.
Majlis fatwa dalam kenyataanya turut memutuskan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 yang terkorban dalam serangan berdarah itu sebagai syahid akhirat.