Global

PM Anwar tiba di Jepun, berdepan jadual padat sepanjang lawatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Jepun bagi lawatan kerja tiga hari ke negara matahari terbit itu bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei).

Pesawat khas membawa perdana menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda kira-kira jam 8 malam tadi dan disambut Naib Menteri Luar Parlimen Jepun Yasushi Hosaka, Duta Besar Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi serta Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.

Menurut Shahril Effendi, perdana menteri akan menjadi pemimpin pertama yang akan menyampaikan ucaptama di persidangan itu.

Walaupun lawatan itu singkat, Anwar jelasnya akan berdepan jadual padat dengan beberapa perjumpaan dan mesyuarat dua hala bersama penggubal dasar dan kapten industri.

Antara dijadualkan adalah pertemuan perdana menteri dan rakan sejawatannya, Fumio Kishida.

Pertemuan itu akan membincangkan inisiatif mengukuhkan hubungan Malaysia-Jepun terutama yang berkaitan dengan teknologi tinggi; peralihan tenaga dan kerjasama alam sekitar; pertahanan dan keselamatan; pembinaan kapasiti dan pendidikan tinggi.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka menyatakan persetujuan bagi kerjasama dalam pelbagai bidang, daripada penyahkarbonan, pendigitalan dan sistem komunikasi mudah alih 5G kepada keupayaan keselamatan siber.

Malaysia dan Jepun turut dijangka mengesahkan kerjasama dalam mengukuhkan rangkaian bekalan semikonduktor pada pertemuan itu, lapor sebuah media tempatan yang memetik sumber kerajaan negara itu.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

BACA LAGI: Imej PM Anwar di pentas antarabangsa semakin meningkat – Penganalisis

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dijadualkan menghadiri dua sesi pertemuan dengan kapten syarikat-syarikat pemain industri di Jepun.

Antara syarikat yang dijadualkan hadir ialah Mitsubishi Corporation, Tokyo Gas, Tokuyama Corporation, Eneos Holding dan IHI Corporation.

Selain itu beliau akan menghadiri beberapa program lain termasuk menyampaikan ucapan sempena memperingati Profesor Toshihiko Izutsu di Universiti Keio, Tokyo.

Turut menjadi perhatian adalah interaksi perdana menteri dengan media Jepun dan antarabangsa dalam majlis dialog di Japan National Press Club sebelum berlepas kembali ke ibu negara selepas menunaikan solat Jumaat di Tokyo Camii Mosque, masjid terbesar di Tokyo.

Related Articles

Back to top button