Semasa

Rasionalisasi subsidi bolehkan hasil digunakan untuk pembangunan lebih penting

Langkah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan penyasaran subsidi diesel melibatkan pengguna di Semenanjung dibuat bagi mencegah ketirisan serta memastikan ia benar-benar sampai kepada kelompok sasaran.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kaedah pemberian subsidi yang dibuat ketika ini tidak mencapai sasaran apabila ia turut dinikmati warga asing hingga mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian.

Justeru keputusan dibuat kerajaan itu jelasnya adalah yang terbaik bagi memastikan tiada pembaziran terhadap perbelanjaan negara.

“Walhasil, kerajaan dapat menyalurkan subsidi kepada kelompok yang disasarkan dan dapatlah kerajaan untuk menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang ditambah baik dan ditingkatkan kepada RM700 juta berbanding RM130 juta,” katanya menerusi hantaran di X pada Rabu.

Perdana Menteri melalui Perutusan Negara yang disiar pada Selasa mengumumkan penyasaran subsidi bahan api itu.

Dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.

BACA LAGI: YDPA sokong langkah penjimatan oleh kerajaan, termasuk melalui subsidi bersasar

Sementara itu tambah Shamsul Iskandar, penjimatan dari penyasaran subsidi untuk bahan api diesel itu juga dapat digunakan untuk pembangunan lebih penting.

“Dengan rasionalisasi ini, kerajaan dapat menyediakan pelan untuk perubahan tenaga yang lebih bersih, demi pembangunan yang lestari kepada alam sekitar, serta memastikan ekonomi dapat terus berkembang dari peralihan tenaga yang lebih bersih ini,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button