KPM bakal beri peluang calon tercicir daftar SPM secara ulangan – Fadhlina
Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melaksana intervensi bagi pengesanan calon tercicir sekaligus memberi mereka peluang untuk mendaftar bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara ulangan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha kementerian itu mengurangkan calon yang tidak menduduki peperiksaan berkenaan.
Dari segi kehadiran jelasnya, jumlah calon tidak hadir berjaya dikurangkan sebanyak 1.2 peratus berbanding tahun lalu.
“Pencapaian ini hasil intervensi dilaksanakan di setiap peringkat membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.
“Namun, KPM tetap mengambil perhatian berkenaan calon tercicir atau tidak hadir peperiksaan SPM 2023,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Seramai 373,525 orang calon atau 97.4 peratus calon telah menduduki SPM 2023.
Keputusan SPM 2023 yang diumumkan semalam menyaksikan Gred Purata Nasional (GPN) adalah 4.60 dengan peratusan calon layak menerima sijil adalah sebanyak 93.5 peratus.
Seramai 11,713 calon berjaya memperoleh gred semua A dengan keputusan itu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 telah dilaporkan tidak hadir menduduki peperikaaan itu.
Sementara itu Fadhlina berkata, KPM optimis keputusan membanggakan SPM 2023 adalah pemangkin dalam usaha berterusan mereformasikan pendidikan negara.
“Tahniah diucapkan kepada semua calon SPM 2023, guru dan seluruh warga KPM yang berusaha keras memastikan peningkatan prestasi secara keseluruhan,” tambahnya.
BACA LAGI: 11,713 calon SPM 2023 peroleh semua A dalam semua mata pelajaran
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengucapkan tahniah kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, beliau turut meminta mereka yang kurang cemerlang agar tidak mudah berputus asa kerana ia (keputusan) bukan pengakhiran, sebaliknya masih banyak ruang dan peluang untuk cipta kejayaan baharu.