Semasa

NRES beri jaminan teliti dakwaan RimbaWatch

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi jaminan akan meneliti laporan badan pemerhati RimbaWatch yang mendakwa negara berisiko kehilangan kira-kira 3.2 juta hektar hutan semula jadi akibat aktiviti pembalakan dan penanaman kelapa sawit.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya komited untuk mengekalkan 50 peratus liputan kawasan berhutan di negara ini justeru memandang serius dakwaan berkenaan.

“Ketika ini litupan kawasan berhutan di negara ini 54.58 peratus, kita tahu ada cabaran (melindungi hutan) di beberapa kawasan, namun kita bekerja keras untuk melindunginya.

“Dakwaan ini kita kaji dan kementerian akan respons (keluarkan kenyataan) dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita.

Nik Nazmi sebelumnya menghadiri sidang pleno sempena International Humanitarian Conference 2024 anjuran Mercy Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur pada Selasa,

RimbaWatch melalui laporannya mendedahkan Malaysia berisiko kehilangan 14 hingga 16 peratus hutan semula jadi susulan aktiviti pembalakan, penerokaan bagi pembukaan ladang kelapa sawit, projek tenaga hidro dan juga nyahwarta hutan simpan.

Laporan sama juga mendakwa bahawa litupan hutan semula jadi di negara ini sudah jatuh ke paras 46.97 peratus.

BACA LAGI: NRES seru kerajaan negeri pinda enakmen berkaitan penyahwartaan hutan

Sementara itu, Nik Nazmi turut memaklumkan berkata kementeriannya sedang merangka Rang Undang-Undang Perubahan Iklim dan Pelan Adaptasi Kebangsaan yang dijangka dibentang pada sesi Parlimen tahun hadapan.

“Sekarang kita sudah mulakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri, NGO (badan bukan kerajaan) dan di peringkat kementerian, kita akan lalui semua proses (yang perlu) termasuk pergi ke Jabatan Peguam Negara untuk draf Rang Undang-Undang ini,” katanya.

Difahamkan, RUU berkenaan bertujuan meningkatkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta mengurangkan kerentanan terhadap kesan buruk perubahan iklim.

Related Articles

Back to top button