Pahang berjaya menoktahkan kemiskinan tegar
Kerajaan Negeri Pahang sudah berjaya menoktahkan miskin tegar di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu program di Kuantan pada Rabu, Wan Rosdy berkata, ia membabitkan 1,946 Ketua Isi Rumah (KIR) yang sebelum ini tersenarai sebagai miskin tegar.
“Bermula semalam, Pahang berjaya menoktahkan miskin tegar di negeri ini membabitkan 1,946 Ketua Isi Rumah (KIR) sebelum ini. Miskin tegar ialah pendapatan RM1,204 sebulan dan mereka (golongan miskin tegar) berjaya melonjakkan pendapatan lebih tinggi dan terkeluar kategori miskin tegar.
“Kita tahu kemiskinan sangat subjektif dan hari ini mungkin kita noktahkan tetapi tidak mustahil akan ada miskin tegar ini pada masa depan.
“Tetapi kerajaan negeri akan memantau dan berusaha membantu untuk memastikan miskin tegar dinoktahkan,” katanya yang menyifatkan ia hasil usaha berterusan dilaksanakan kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat Pahang.
BACA LAGI: Kemiskinan tegar di Kedah perlu dinoktahan segera, tegas PM Anwar
Wan Rosdy sebelumnya hadir ke Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Pahang SPM 2023 di Dewan SUK, Wisma Sri Pahang
Seramai 99 pelajar Orang Asli dan SMA Pahang menerima antara RM500 dan RM1,100 seorang membabitkan pelajar yang mendapat 5A hingga 11 A iaitu setiap 1A menerima RM100.