Semasa

PM Anwar umum pemberian baucar buku RM100 untuk pelajar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi semua pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketika mengumumkan inisiatif itu pada perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) beliau berkata, baucar itu boleh mula dituntut mulai jam 2 petang hari ini.

“Kerajaan teruskan (pemberian) baucar RM100 itu dan untuk tahun ini, kita mulakan dari (murid) Tahun 4 dan keatas bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.

“Kita akan beri panduan (jenis) buku termasuk novel klasik (seperti) hikayat Hang Tuah, novel oleh sasterawan terkemuka dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir pada perasmian itu antaranya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut Anwar berkata, panduan mengenai buku yang boleh dibeli dibuat setelah mendapati baucar itu sebelum ini digunakan untuk membeli buku-buku picisan yang tidak bernilai.

Sementara itu dalam ucapannya Anwar menegaskan, masyarakat perlu diberikan pemahaman mengenai makna ilmu yang sebenar supaya tidak terdedah dengan maklumat atau karya tidak bermanfaat.

“Justeru, kita perlu melatih anak-anak membaca, mencintai ilmu serta menentukan yang mana adalah informasi dan ilmu, seterusnya mempunyai keupayaan untuk menyaring apa yang disebut ilmu makrifah atau kebijaksanaan,” katanya.

BACA LAGI: Perdana Menteri lancar terjemahan Kitab Fiqh Zakat dalam bahasa Melayu

Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat reruai pada PBAKL 2024, termasuk reruai Negeri Tamu, Sabah, yang bertempat di Aras Dua WTCKL.

Selain itu, Anwar menyempurnakan pelancaran Buku Edisi Malar Segar Sasterawan Negara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Hussein Onn WTCKL.

Related Articles

Back to top button