Semasa

Polis tubuh pasukan petugas khas, siasat kes jemaah haji terkandas di Makkah

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat aduan jemaah haji negara ini yang terkandas di Makkah.

Pengarahnya Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata penubuhan pasukan itu merupakan tindakan proaktif bagi menangani isu berkenaan.

“Pasukan ini bakal bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan memastikan tindakan selanjutnya diambil berpandukan peruntukan undang-undang tertentu, sesuai dengan kesalahan yang dikesan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Baru-baru ini sebuah portal berita melaporkan rayuan sepasang suami isteri yang terkandas di Makkah agar dibantu bagi mendapatkan semula passport milik mereka.

Anak mangsa mendedahkan, bapa dan ibunya yang masing-masing berusia, 60 dan 58 tahun berlepas ke Makkah pada 2 Mei lalu menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji melalui sebuah agensi pelancongan.

Namun setelah tiba ke Makkah, agensi itu kemudian gagal menyediakan visa haji seperti dijanjikan dan mahu menarik diri untuk menguruskan perkhidmatan dan mahu bakal jemaah haji terbabit menandatangi surat perakuan agar tidak mendedahkan perkara itu kepada awam.

Perkara itu kemudian mendapat perhatian Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.

BACA LAGI: Keluhan pasangan terkandas di Makkah dapat perhatian Setiausaha Politik Perdana Menteri

Sementara itu Ramli berkata pihaknya menerima satu laporan di Negeri Sembilan yang mendakwa terdapat jemaah haji dari Malaysia terkandas di Makkah pada musim haji tahun ini.

Siasatan awal setakat ini mendapati isu dalam kes tersebut adalah menjurus kepada bidang kuasa siasatan Lembaga Tabung Haji.

Related Articles

Back to top button