Nasional

Penggunaan teknologi AI dalam sektor binaan kurangkan kebergantungan pekerja asing – Fadillah

Kerajaan memberi fokus kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk sektor pembinaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air juga meminta pemain industri pembinaan menerapkan teknologi digital lain seperti pemodelan maklumat bangunan (BIM) selain menekankan amalan alam sekitar, sosial dan tata kelola secara meluas sejajar perubahan semasa.

“Di samping memperkasa kontraktor tempatan, usaha berterusan ke arah pendigitalan industri pembinaan secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan industri ini kepada pekerja asing berkemahiran rendah.

“Dan seterusnya menutup jurang produktiviti untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya berucap pada sambutan ulang tahun ke-70 Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) pada Jumaat.

Fadillah turut memuji pembabitan aktif MBAM dalam pelbagai jawatankuasa teknikal dan kerja berkaitan penggubalan dasar serta pelaksanaan program.

“Saya sedia maklum bahawa banyak amalan terbaik industri telah dimulakan oleh pemain industri itu sendiri dengan objektif untuk meningkatkan prestasi industri pembinaan di Malaysia.

“Harus diingat, dinamik industri pembinaan akan terus berkembang dan cabaran yang menanti pastinya lebih hebat. Namun, harapan saya ialah MBAM dan semua ahlinya tidak gentar membawa perubahan dalam era Revolusi Industri 4.0 dan terus memandang ke hadapan,” katanya.

Related Articles

Back to top button