Semasa

384 pusat kegiatan guru ditambahbaik, pastikan kompetensi kemahiran digital guru

Sebanyak 384 pusat kegiatan guru telah ditambahbaik bagi memastikan kompetensi kemahiran digital warga pendidik dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, penambaikan dengan kelengkapan bahan-bahan digital itu penting bagi memastikan pelajar-pelajar tempatan diperkukuhkan dengan budaya, kepakaran dan kemahiran berkaitan digital.

“Apa yang kita lihat perkara penting dalam pembudayaan digital sistem pendidikan adalah berkenaan dengan kemahiran dan kompetensi guru, sebab itu kita telah mengangkat dan menambah baik pusat kegiatan guru ini dalam usaha untuk mempersiapkan dunia pembelajaran digital.

“Penambahbaikan pusat kegiatan guru ini sebenarnya telah bermula dan diharapkan menjadi pusat tumpuan kepada para guru untuk meningkatkan kompetensi mereka untuk mendidik anak-anak murid mereka,” jelasnya ketika sidang akhbar di Auditorium Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 dan Pelancaran Mydigitalmaker Fair (MDMF).

BACA LAGI: Reformasi pendidikan diperkukuh, termasuk bidang AI

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata sehingga 1 Mei lalu seramai 352,265 iaitu 81 peratus golongan pendidik telah disaring untuk mengesan tahap kompetensi digital.

Daripada dapatan saringan tersebut jelasnya telah menunjukkan 82,495 (23.4 peratus) berada pada tahap asas manakala 263,659 (74.9 peratus) pada tahap pertengahan, dan 6,111 (1.7 peratus) pada tahap lanjutan.

“Melalui keputusan dapatan ini, intervensi atau latihan berterusan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kompetensi digital golongan guru.

“Pelantar Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) telah dilancarkan khusus untuk meningkat kompetensi digital guru selain kursus-kursus yang disediakan di pelantar DELIMa,” katanya

Related Articles

Back to top button