PBT

Rumah Kg Sri Makmur diroboh ikut prosedur – Pejabat Daerah dan Tanah Gombak

Anggota penguatkuasa yang bertugas dalam operasi tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan di Kampung Sri Makmur, Gombak baru-baru ini sentiasa mengikut prosedur serta tatacara kerja bagi memastikan keseluruhan struktur terlibat termasuk surau dikosongkan sepenuhnya.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan yang menceroboh tanah hak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 27 dan 28 Mei lepas itu adalah berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024.

Menurutnya, pelbagai barangan, naskah al-Quran, ayat dan kalimah suci atau apa juga bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran telah dialihkan ke tempat yang selamat bagi memelihara kesucian dan kehormatan kitab suci itu di samping mengelakkan kerugian kepada pemilik struktur.

“Pihak pemaju juga telah melantik pekerja-pekerja yang memakai ves keselamatan bagi membantu pemilik struktur memindahkan baki barangan yang masih ada di dalam struktur yang terlibat,” katanya.

Sepanjang operasi berlangsung, katanya, provokasi serta halangan dapat dikawal dengan baik namun terdapat juga satu insiden melibatkan empat anggota penguat kuasa diserang pemilik struktur yang terlibat dengan perobohan dan klip videonya telah tular di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terhadap suspek dan ia kini di bawah tindakan selanjutnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDT Gombak turut menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan palsu seperti yang telah tular dan disensasikan baru-baru ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Related Articles

Back to top button