Semasa

Ahli Parlimen Ampang sumbang RM15,000 untuk dana operasi Asrama Darul Huda

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menyatakan hasrat untuk menjadikan pejabat khidmatnya sebagai pemudah cara untuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) memaksimumkan usaha mengembangkan syiar Islam di negara ini.

Rodziah ketika merasmikan Asrama Darul Huda di Ampang Jaya pada Isnin berkata, beliau terharu apabila semakin banyak NGO seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) memain peranan aktif antaranya dengan menyediakan rumah transit dan kelas-kelas pengajian secara percuma kepada golongan mualaf bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan ilmu agama yang sempurna.

“Saya terharu dengan peranan yang dimainkan Perkim dalam membantu mengembangkan syiar Islam negara, kerana saya sedar tugas ini bukanlah mudah. Atas sebab itu, Parlimen Ampang bersedia menjadi penghubung (pemudah cara) antara NGO masyarakat dengan agensi yang sepatutnya agar usaha ini digerakkan secara maksimum.

“Ini kerana tugas membantu mereka yang memerlukan ini atau kurang berkemampuan ini bukan terletak hanya pada satu pihak tapi merupakan tanggungjawab semua,” katanya dalam ucapan.

Pada majlis itu Rodziah turut menyampaikan peruntukan RM15,000 bagi dapat membantu pihak pengurusan memenuhi keperluan mualaf di samping memastikan mereka terus bersemangat untuk mendalami Islam.

BACA LAGI: KDN sasar enam Baitul Mahabbah beroperasi penuh menjelang akhir tahun

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, yang turut hadir ke perasmian itu juga mengalu-alukan penglibatan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Altimet, kerjasama seperti ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada masyarakat sekali gus membolehkan dana rakyat benar-benar sampai kepada golongan sasar yang ditetapkan.

Related Articles

Back to top button