Semasa

Nahas rombongan guru: KPM beri sokongan psikososial di sekolah terbabit

Kementerian Pendidikan Malaysia( KPM) akan memastikan kebajikan semua mangsa kemalangan bas ekspres rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka diberi keutamaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh punca kemalangan bas ekspres berkenaan.

“Di peringkat KPM, kita sedang mengambil semua langkah untuk dapatkan laporan penuh punca kejadian dan juga kebajikan guru-guru yang sebahagiannya ada di hospital.

“(Begitu juga) dengan persiapan sekolah kerana esok ada sekolah yang akan kehilangan guru, jadi kita kerahkan kaunselor untuk turun ke semua sekolah ini untuk memberikan sokongan psikososial kepada rakan-rakan guru dan juga anak murid yang kehilangan guru dalam kejadian ini,” katanya.

Fadhlina ditemui pemberita selepas merasmikan program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional ( HAWANA) di Kepala Batas pada Ahad.

Media melaporkan, empat orang maut selepas bas ekspres membawa rombongan guru itu kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah pada pagi Ahad.

BACA LAGI: KPM bakal beri peluang calon tercicir daftar SPM secara ulangan

Bas membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu yang dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu itu terbabas dan terjunam ke bawah cerun selepas rempuhan tersebut.

Sementara itu jelas Fadhlina, pihak kementerian akan memberikan sokongan psikososial kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Related Articles

Back to top button