Bas ekspres dan bas sekolah terima subsidi, tidak wajar ambil kesempatan naik harga – Menteri
Pengusaha bas ekspres dan bas sekolah tidak terjejas dengan pengumuman penetapan semula harga diesel, tegas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Justeru tegasnya, tidak sepatutnya pihak tersebut menaikkan kadar tambang kerana mereka terus menikmati subsidi diesel menerusi kad fleet diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Mereka tidak terkesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini terima subsidi .
“Jadi apa yang mendorong mereka menaikkan harga tambang?, …tidak sepatutnya berlaku (kenaikan tambang),” tegasnya pada satu sidang media di George Town pada Selasa.
Beliau sebelumnya diminta mengulas khabar angin kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran susulan pengumuman pelarasan semula harga diesel di Semenanjung.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan kadar tambang bas ekspres tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia adalah di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
”Bagi bas sekolah, kita tidak kawal harganya cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
BACA LAGI: PEMBAWA alu-alukan pelaksanaan subsidi diesel bersasar
“Bas persiaran pula adalah untuk kegunaan pelancong asing dan bagi tujuan pelancongan bukannya kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.
”Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima mereka,” tambahnya.