Ustaz Abdul Somad kongsi pengalaman manis bertemu PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menerima kunjungan pendakwah terkenal dari Indonesia Ustaz Abdul Somad Batubara.
Pertemuan kira-kira sejam itu berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya dengan kedua-duanya membincangkan dinamik dakwah dan isu-isu agama yang merentas sempadan alam Melayu.
“Saya hargai usaha dakwah Ustaz Abdul Somad yang aktif khususnya di alam Melayu. Sesungguhnya para dai dan ulama di alam Melayu ini saling mendukung dan melengkapi pemerintahan umara sejak sekian lama.
“Peranan ulama Melayu seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syed Abdul Samad al-Falimbani, Raja Ali Haji dan Buya Hamka punyai hikmah, kedalaman ilmu dan berani dalam melaksanakan dakwah telah menyumbang kepada perjuangan melawan penjajah serta benteng kepada akidah umat di rantau ini,” kata Anwar melalui hantaran di laman Facebooknya.
Sementara itu tambah Anwar, mereka bersependapat bahawa pentingnya dakwah yang berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dengan lebih bijaksana.
Difahamkan, pendakwah berasal dari Sumatera Utara berada di Malaysia dalam rangka siri ceramahnya ke negara ini.
Abdul Somad melalui hantaran di laman instagramnya malam tadi turut berkongsi pengalaman bertemu dengan Anwar.
“Bayangan saya, akan menunggu, suasana tegang, kata-kata diatur, penuh protoko dan seterusnya.
“Ternyata, beliau sambut di pintu, ngobrol(bersembang) santai, cair. Akhirnya waktu berlalu dari pukul 14.10 hingga 15.10, lebih sejam bebual panjang.
“Rasanya tidak seperti jumpa dengan Perdana Menteri, lebih seperti berdialog dengan tokoh yang memposisikan diri biasa-biasa saja,” kata pendakwah terkenal itu.
“Susah aku merangkai kata untuk menceritakan perasaanku saat ini. Aku dari airport, dengan baju seadanya, langsung jumpa,” tambahnya sambil mengucapkan jutaan penghargaan atas kesudian Anwar untuk berjumpa.
Sementara itu rata-rata pengikut media sosial pendakwa itu turut menyatakan senang dengan pertemuan kedua-dua mereka.
Seorang dari mereka menyifatkan perjumpaan itu sebagai bukti pentadbiran Anwar mengembalikan fungsi agamawan dan ulama sebagai penasihat kepada pemimpin.
“Alhamdullilah, kembalikan fungsi Ulama sebagai pendamping dan penasihat yang ikhlas kepada umara. Islam itu Rahmatan lil’alamin,” kata hatiemas.seeker.”Dua sosok yang membanggakan, UAS pandai dan pendidik, Anwar politikus ulung dan menginspirasi,”tulis ustazamrifatmi pula.